SAFETY AND HEALTH OFFICER WANITA DALAM FILEM

Tahukah anda, ada sebuah filem yang mengangkat watak Safety and Health Officer wanita?

Tak ramai tahu filem Perancis yang berjudul Corporate (2017) ini. Sebut saja filem Perancis, pasti kita tahu mereka sentiasa menyentuh isu-isu hangat yang tak dipaparkan dalam filem jajaan Hollywood. Menariknya dalam filem ini, Pengarah menjadikan tragedi bunuh diri di tempat kerja sebagai modal utama untuk meletakkan watak ke dalam konflik menyelamatkan diri masing-masing bila dikejar seorang Safety and Health Officer (SHO) wanita.

Kemalangan di tempat kerja bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Dah mati, itu satu hal. Tapi, mengikut undang-undang ‘Occupational Safety and Health (OSH)’ di mana-mana negara, apa sahaja puncanya, apabila mangsa terbunuh di tempat kerja, ia perlu dipertanggungjawabkan ke atas majikan.

 

 

Wahai para pekerja semua! Tak kisah lah anda kerja berkolar biru, berkolar putih atau tak ada kolar sekalipun, ini cerita tentang anda semua yang berpotensi dibuli pihak majikan yang jahat di dalam, namun, sentiasa nampak baik di luar. Filem Corporate (2017) menjadi filem yang penting untuk ditonton para pekerja supaya mereka mengetahui tentang keadaan mereka yang boleh dimanipulasikan majikan. Safety and Health Officer (SHO) lagilah perlu menonton kerana filem ini menyimpulkan dengan mudah betapa pentingnya kewujudan kalian dalam memastikan suasana di tempat kerja itu selamat dan menyokong kebajikan pekerja.

Safety and Health Officer

Inspektor Marie sedang mencabar Emilie untuk membongkar kes bunuh diri di tempat kerja

 

Kisahnya adalah mengenai Emilie (lakonan Céline Sallette); seorang bos wanita di Human Resource Department yang cuba memastikan konspirasi syarikat tidak terbongkar apabila Inspektor Marie (lakonan Violaine Fumeau); seorang penyiasat atau lebih dikenali sebagai Safety and Health Officer (SHO) mula menghidu ada sesuatu yang tidak kena dalam kes bunuh diri di tempat kerja tersebut. Puas Emilie bersilat meletakkan kesalahan terhadap mendiang dan menuduh beliau membunuh diri akibat ‘stress’ dari bibit awal penceraian dengan isterinya.

Ya, memang pada awalnya, kita melihat Emilie lagaknya seperti seorang bos yang prihatin kerana mengambil berat keadaan pekerjanya. Mestilah, sebab jarang-jarang seorang wanita ditampilkan berkarisma menjadi bos. Pasti bila wanita menjadi bos, maka, akan ada nilai-nilai kemanusiaan yang baik, kan? Lagi-lagi bila ditampilkan Emilie ini sebagai seorang ibu dan isteri yang baik. Secara tidak langsung, kita diajak untuk mempercayai bahawa sesebuah syarikat besar itu pasti akan memihak kepada pekerja apabila Human Resource Department-nya dikepalai oleh seorang wanita yang berpengalaman luas dalam dunia korporat. Para pejuang hak wanita juga pasti mula berasa bangga di awal filem ini mula dikupas.

Oh, tidak! Segala imej indah dan cantik yang kita bayangkan itu bakal diranapkan bila rahsia hitam Emilie mula dibongkar. Wanita yang kita lihat berkaliber ini sedikit demi sedikit buat kita berasa geram. Bila penonton mula menghidu betapa busuknya hati Emilie yang tanpa peri kemanusiaan terlibat secara langsung dalam tragedi tersebut, kita terasa ingin membalas dendam terhadapnya. Begitulah perasaan membuak-buak yang dicetuskan Pengarah filem ini; Nicolas Silhol. Kita jadi tak senang duduk kerana mula mempertikaikan mengapa bos Human Resource Development seperti Emilie sanggup bertindak membelakangi para pekerja. Ini suatu pengkhianatan yang mengecewakan. Kepercayaan pekerja terhadap hierarki syarikat mampu ranap sekelip mata setelah rahsia terbongkar.

Emilie dan seorang lagi Bos sedang bertegang urat menyorokkan kes

Dalam keadaan kita dah ‘berbulu’ melihat Emilie, watak Inspektor Marie memberi kita kepercayaan semula kepada wanita yang memegang tampuk kuasa apabila beliau bertindak ‘bad-ass’ sebagai seorang Safety and Health Officer (SHO) yang menyelamatkan keadaan. Inspektor Marie begitu berpegang teguh kepada prinsip yang mengutamakan kebajikan dan keselamatan pekerja. Wanita yang menjengkelkan ini rupa-rupanya mempunyai hati mulia. Biarpun kehadirannya sentiasa mendebarkan jiwa para penyelia tempat kerja, namun, kemunculannya bukanlah semata-mata mencari kesalahan. Beliau begitu berdedikasi sehingga menjadi hero menjatuhkan regim korporat yang berselindung dengan imej suci seorang bos. Selepas dikecewakan dengan watak Emilie, kita kembali menaruh kepercayaan terhadap wanita melalui keteguhan jiwa Inspektor Marie.

Fuh! Memang tak sangka rupa-rupanya dunia korporat ini begitu jijik dan busuk. Siapa yang tak terkejut bila didedahkan konspirasi majikan yang disangka mendokong dedikasi pekerja membangunkan syarikat itu. Konspirasi dalam Human Resource Department tersebut memberi natijah buruk tetapi disolek dengan ayat-ayat korporat yang akhirnya menindas pekerja tanpa sedar.

Penindasan tak semestinya dibuli secara fizikal, ya! Kalau pekerja terpaksa berkhidmat sehingga mengundang stress dalam hidupnya, majikan perlu ambil berat dan bertanggungjawab. Tapi, biasanya majikan akan sentiasa berlepas tangan. Nah! Bila ada pekerja yang memberontak dan sanggup mengorbankan nyawanya, barulah semua bos-bos ini menggelabah macam lipas kudung.

Safety and Health Officer

Bos-bos dah panas punggung tak selesa disiasat Inspektor Marie

Kejadian bunuh diri di tempat kerja ini sungguh ironi kerana kematian yang menyedihkan ini telah memberi berita gembira kepada semua pekerja. Sudah pasti ia mengundang perhatian Board of Safety yang diibaratkan seperti singa lapar mencari punca yang cuba disorokkan. Barulah kita semua tahu, betapa besarnya jasa seorang Safety and Health Officer yang menjadi penyokong kuat kebajikan pekerja. Ya lah, biasanya mereka dianggap sebagai pegawai cerewet yang asyik tak puas hati saja tentang perjalanan syarikat. Itu tak kenalah, ini tak kenalah. Sekali bila terjadi tragedi kemalangan sebegini, barulah kita nampak fungsi besar mereka.

Filem Corporate (2017) ini perlu ditonton dan diraikan agar ia terus membuka mata semua pihak terutama para pekerja. Para majikan pasti tak senang duduk bila filem ini diperkatakan kerana ia bakal mengancam status-quo mereka dalam hierarki korporat. Pekerja pula akan semakin akan semakin celik tentang hak mereka agar tak ditindas ketika bekerja.

Kadang-kadang kita merasakan bahawa kita bekerja dengan penuh berdedikasi itu sebagai usaha yang dipandang tinggi. Mungkin juga, ia dipandang remeh dan hanyalah ibarat dipermainkan pihak majikan. Stress di tempat kerja juga merupakan kesan sampingan dari penindasan ini. Sebelum ada pekerja yang dah putus harapan dan bertindak menamatkan riwayat hidupnya, lebih baik kita sama-sama bertindak mendesak majikan agar lebih prihatin terhadap pekerja.

Itulah antara objektif dan fokus dalam Safety and Health Administration (OSHA); mengelakkan kemalangan di tempat kerja, bukan semata-mata nak bersihkan rekod pengurusan, tetapi sangat prihatin kepada sejauh mana suasana pekerjaan itu sesuai untuk kepada pekerja dan majikan.

Kena ada Safety and Health Officer untuk bisingkan hak anda!

Ramai pekerja berasa selesa di tempat kerja. Pada pandangan mereka, pekerja kontrak pembinaan itulah yang perlu berasa tidak selesa dengan kerjanya. Pekerja tidak mengetahui bahawa boleh jadi suasana di dalam pejabat juga boleh dipertikaikan dan mengundang kemalangan terhadap pekerja. Kita tak perasan, biasanya suasana pekerjaan itu banyaknya memberi keuntungan kepada majikan, dan jarang kepada pekerja. Siapa yang perasan dan sentiasa perjuangkan suasana selamat ini? Ya! Safety and Health Officer (SHO) macam Inspektor Marie tersebut.

Ya! Selepas menonton filem Corporate (2017), anda pasti tidak lagi memandang enteng kepada tugas seorang Safety and Health Officer (SHO). Mereka memang menjengkelkan, tetapi, ia sebenarnya untuk kebajikan pekerja juga. Jangan ingat, kalau anda bekerja dalam pejabat, anda tidak memerlukan mereka. Sebenarnya, anda memang perlukan mereka.
Dan, kepada majikan, jaga-jaga ya! Filem ini bakal bongkar rahsia anda. Jadi, jangan berasa selesa sangat ya. Sama ada anda haramkan filem dari ditonton pekerja, atau, mula lah berubah menjadi majikan yang prihatin.

Safety and Health Officer
Pergi cari DVD filem Corporate (2017) dan tonton bersama-sama rakan sejawatan anda, sekarang!

#DuniaOSHA

Leave A Reply