Keracunan Merkuri: Mad Hatter Adalah Sejarah Penting OSH

Keracunan Merkuri atau Erethism adalah sesuatu yang menakutkan. Ia bukan perkara baharu dalam sejarah keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Keracunan Merkuri boleh mengakibatkan simptom seperti lemah otot, koordinasi panca indera yang tak terkawal, tangan terketar-ketar, ingatan terganggu, rasa tak senang hati dan masalah penglihatan. Turut diperhatikan pada orang yang dihinggapi keracunan Merkuri adalah seperti insomnia (tak boleh tidur) dan berkurangnya daya fikir waras.

Pekerjaan yang sering terdedah kepada keracunan Merkuri boleh dikatakan sangat banyak dan kadang-kadang tak dapat dijangka. Antara yang boleh dikongsikan adalah seperti di sektor kesihatan, pergigian, sektor pelombongan dan galian, sektor rawatan air, sektor pengilangan dan produksi alat elektronik dan sebagainya. Ada juga bidang pekerjaan yang dahulunya terdedah kepada keracunan Merkuri tetapi sudah ditambah baik kini.

Apakah dia? Pembuat Topi. 

Keracunan merkuri

Sekitar pertengahan kurun ke 17 sehingga 19, industri topi di dunia barat merupakan industri yang penting dalam sosio-budaya masyarakat setempat. Pembuatan topi yang menggunakan mercuric nitrate bagi membentuk topi yang digemari. Ada pelbagai cara untuk membentuknya, tetapi, ketika itu, yang paling banyak diperhatikan adalah penggunaan cecair merkuri yang merbahaya. Ini menyebabkan para pembuat topi terdedah kepada keracunan merkuri.

Amat kerap diperhatikan kepelikan perangai, fizikal dan mental pada diri pembuat topi sehingga sering dijolokkan dengan gelaran ‘mad hatter’ atau ‘mad as hatter’ apabila masyarakat melihat seseorang yang tidak berapa waras. Kegilaan yang sering disandarkan kepada pembuat topi ini ada kaitan terus dengan Merkuri.

Keracunan merkuri

ALICE IN THE WONDERLAND dan ALICE THROUGH LOOKING GLASS

Kita dapat melihat ciri-ciri keracunan merkuri pada pembuat topi ini  diabadikan Penulis buku, Lewis Carroll dalam watak Hatter. Namun, ia bukanlah secara terus ditujukan kepada fenomena pelik pada pembuat topi. Watak tersebut diinspirasikan seorang tukang perabot yang rapat dengannya. Pun begitu, latar hidup Lewis Carroll di Stockport mungkin beri inspirasi untuk beliau mencantikkan lagi perwatakan Hatter yang dibawakan dalam karyanya.

Johnny Depp yang membawa watak Hatter dengan cemerlang ini menunjukkan ciri-ciri seorang yang menghidap keracunan Merkuri secara hampir tepat. Mata lebam yang menunjukkan insomnia yang teruk, pengucapan yang tidak lancar dan pelat, rambut yang yang tidak sihat, wajah pucat dan juga koordinasi tangan dan kaki yang tidak seimbang. Keracunan Merkuri akibat terdedah kepada cecair yang tak terkawal dengan sempurna ini menyebabkan kualiti kerja yang sangat mengecewakan. Bahkan, ia mampu menjadikan kualiti hidup merudum dan merosakkan diri dalam jangka masa panjang.

 

Keracunan merkuri

Apabila membaca ALICE IN THE WONDERLAND dan ALICE THROUGH LOOKING GLASS dan menonton filem-filem yang diadaptasikan daripada tulisan Carroll ini, kita berasa bahawa Keracunan Merkuri ini merupakan subjek yang sangat penting dalam membincangkan tentang Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan.

Leave A Reply