Call Us: +603-89208772 / +603-89275258 / +6019-3831987

TERUSLAH MENAPAK MESKIPUN MENONGKAH ARUS

menongkah arus

Bumi semakin tua. Planet ini seolah-olah tidak lama usianya, dan semakin tidak mampu menerima pelbagai peristiwa dan kejadian yang berlaku di atas mukabumi ini.

 

Dunia semakin menuju ke hujungnya. Akhir zaman itu sudah tiba, sebaik diutuskan Nabi terakhir, Sidna Rasulullah SAW. Antara tanda-tanda akhir zaman itu, adalah diutusnya Nabi dan Rasul terakhir. Dan kerasulan Baginda sudah berlalu lebih 1400 tahun. Apakah gambaran kita bagi seorang yang mencecah usia 1400 tahun?

 

Kita perlu terima, bahawa kita hidup di akhir zaman. Akhir zaman itu penuh fitnah. Begitu kita sering diajar dan diperingatkan. Fitnah yang bagaimana? Fitnah dalam pelbagai bentuknya.

 

Ada yang ditimpa fitnah berupa kesusahan dan kesempitan hidup, kurang upaya dan penghasilan, kematian dan kehilangan harta. Caranya? Seperti yang kita saksikan kini, pelbagai gerak gempa, gegaran bumi, letusan gunung berapi, ombak besar dan tsunami, hatta banjir lumpur dan air empang yang melimpah, semua ini ibarat manifestasi betapa bumi ini sudah tua, tidak mampu lagi menanggung makhluk hidup di atasnya.

 

Ada juga fitnah dari hasil bikinan manusia. Kejahatan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri, yang merentap nyawa, harta dan kebahagiaan orang lain, atas alasan dan dasar apapun. Maka berlakulah peperangan, pembunuhan, pertumpahan darah dan persengketaan yang tidak berkesudahan.

 

Akhir zaman, nyawa manusia ibarat amat murah, terlalu murah, boleh direntap dan dibunuh sesuka hati, hanya kerana isu dan masalah yang kecil, dan kadangkala amat jengkel untuk diterima. Betapa kerana kerakusan nafsu yang inginkan wang dalam peti besi, maka nyawa petugas bank boleh melayang dek tembakan ganas sang pengawal. Inilah akhir zaman, kejahatan dan kebaikan telah bercampur-baur. Sukar mengenal mana kawan, mana lawan.

 

Belum lagi kita bercerita kisah pembunuhan beramai-ramai, atas nama apapun ianya berlaku. Konon atas nama demokrasi, menumpaskan pengganas, memusnahkan senjata besar-besaran (WMD) dan bom kimia, namun yang jelas, kesannya semakin ramai yang menjadi korban.

 

Akhir zaman, kemiskinan merata dan melata, adakah kerana bumi kekurangan sumber? Atau hujan tidak turun? Atau kemarau panjang? Tidak, tetapi kerana hasil bumi dibolot tidak sekata. Yang kaya semakin kaya, yang miskin jatuh papa kedana.

 

Akhir zaman, kerosakan bermaharajalela. Akhlaq tipis, malu telah habis, mulut manis penuh racun, panahan cinta bisa merobek rahmat kekeluargaan. Keruntuhan sistem keluarga menjadi biasa. Lihatlah di Mahkamah Syariah, betapa tinggi timbunan fail kes menanti diputuskan? Perceraian, nusyuz, ta’aliq, zina, khalwat dan bermacam-macam lagi ‘jenayah kekeluargaan’, menambah statistik. Apakah maksud semuanya ini?

Dalam satu Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya:

 

“Qiamat tidak akan berlaku, kecuali ke atas makhluq yang jahat”

 

Ya, apabila semua menuju ke ‘trend’ kejahatan, kerosakan, kemusnahan dan kebobrokan, kerana ini adalah sunnah Allah ke arah ‘penghujung dunia’. Dunia menuju pengakhiran, inilah akhir zaman.

 

Akhir zaman, dunia sudah terbalik. Yang baik dibuang, yang jahat diambil. Yang mulia dipandang pelik, yang jelik diangkat naik. Yang busuk katanya harum, yang wangi dibuang ke longkang. Pelbagai perkara pelik telah dan sedang berlaku, di pelbagai negeri, di pelusuk dunia.

 

Ada negara, Presiden yang sah dibicarakan, perampas kuasa yang batil menjadi hakim. Di setengah negeri, perompak bersekongkol menyamar pengaman, sedang yang miskin berlagak pemilik harta. Macam-macam boleh jadi, kerana kita di Akhir Zaman.

 

Adakah ungkapan ‘Kita di Akhir Zaman’ boleh menjadi alasan untuk kita berpangku tangan, berpeluk tubuh dan sekadar menjadi pemerhati sahaja?

 

Sekali-kali TIDAK!

 

Kerana jika tidak berbuat apa-apa pun, Akhir Zaman tetap akan berlaku, dan kita mungkin akan terjerumus jua dalam fitnah yang berlaku. Maka, yang dituntut adalah untuk kita menyelamatkan diri kita dan mereka yang disekeliling kita. Yang di dalam jangkauan kita, perlu kita selamatkan.

 

Kita diajar untuk berdoa:

 

“Ya Allah, Selamat kami dari fitnah akhir zaman, pelihara kami dari fitnah Masih ad-Dajjal, matikan kami dalam Iman, bukan su’ul khatimah”

 

Betapa besarpun fitnah dan cobaan di akhir zaman ini, kita perlu terus menongkah arus, demi menyelamatkan diri kita. Jika tidak berbuat apa-apa, kita pasti hanyut dibawa arus kerosakan dan kemusnahan akhir zaman yang amat ganas.

 

Kita lah yang perlu menentukan destini hidup kita. Bangkitlah, jangan biarkan kita hanyut dan lemas dalam arus akhir zaman. Selamatkan diri kita, pastikan hati kita masih hidup, Iman masih berfungsi, Islam tetap ditegakkan, adat bersendi syari’at dan akhlaq kita menuju kemuliaan.

 

Akhir zaman, penuh ujian. Hanya mereka yang kuat dan tabah, akan mampu menghadapinya.

 

“Ya Allah, kami hambaMu yang lemah, hidup di akhir zaman. Tiada daya dan upaya kami, melainkan denganMu Ya Allah. Pelihara kami dari fitnah akhir zaman. Selamatkan kami di dunia dan akhirat”.

 

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 63- CERNA MINDA

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Artikel

Hubungi Kami

CERNA MINDA SDN BHD
NO 5 – 19 – 03A JALAN MEDAN P8A SEKSYEN 9 43650 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR MALAYSIA
Phone: +603 – 8928 0987
Fax: +603 - 89202498
CEO (Ir. Ahmad Jais): +6019 - 3343355
COO (Suhaimi): +6019 - 3831987
Website: http://cernaminda.com
Email: suhaimi@cernaminda.com
www.facebook.com/cernaminda

Info lanjut: