Call Us: +60111-0040387

TERIMALAH KEBENARAN

terimalah-kebenaran

Kebenaran atau al-Haq, adakalanya amat sukar diterima. Bukan sekadar tidak diterima, bahkan ada juga yang menentang dan menolaknya. Mengapa begitu? Lebih-lebih lagi jika kebenaran itu berkait dengan apa yang kita perjuangkan, atau sebaliknya. Atau jika kebenaran itu implikasinya amat besar kepada diri kita atau kehidupan ini.

 

Yang menolak kebenaran itu, apakah aqal kita, atau hati? Apabila seseorang tidak menerima perkara yang tiba kepadanya, kerana tidak dapat menerima hakikat perkara tersebut, apakah sebenarnya yang berlaku?

 

Contohnya, pernahkah kita berhadapan dengan seseorang yang baru kehilangan ahli keluarga yang amat dikasihinya, atau baru dikhabarkan berita kematian atau pemergian kekasihnya tercinta? Gerangan apakah yang selalu terlafazkan?

 

“Tidak, tidak, aku tidak percaya…..kenapa dia harus pergi? Tidak, dia tidak mati!!!”

 

Itu mungkin antara skrip drama yang biasa kita temui….yang menggambarkan sukarnya seseorang insan, menerima berita kehilangan orang yang dikasihinya.

 

Cuba renungkan, yang menolak kebenaran berita itu, apakah aqal, atau perasaannya? Aqal mungkin tahu, bahawa berita yang tiba itu benar, kematian itu pasti, kesakitan yang dideritai oleh sang kekasih itu, memang membawa kematian. Tetapi yang sukar menerima itu adalah hati dan perasaan.

 

Aqal akan menerima sesuatu perkara, jika disampaikan dengan maklumat dan ilmu yang benar dan meyakinkan. Kerana itulah, apabila ditimpa musibah, Islam mengajarkan agar kita kembalikan semuanya kepada Allah SWT, ucapkan “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun”, iaitu kembali memahami, mengimani, meyakini dan merasai, bahawa kita semua ini adalah untuk Allah, dan kepada Allah kita semua akan kembali.

 

Ungkapan ini adalah untuk dicerna oleh aqal dan hati kita. Aqal akan memahami dan menerima kebenaran, bahawa semua yang berlaku adalah urusan Allah, dari Allah dan untuk Allah, hatta diri kita dan semua yang di alam ini, adalah kepunyaan Allah. Maka saat Allah mengambilnya semula, maka kita harus menerima hak dan kebenaran Allah untuk memiliki kembali milikNya.

 

Apabila aqal dan hati, sepakat menerima kebenaran, maka mudahlah kebenaran itu masuk ke dalam jiwa seseorang, dan pasrah serta tenanglah beliau. Namun, selagi ada penolakan, sama ada oleh aqal, atau hati, atau kedua-duanya, maka amat sukar untuk kebenaran itu diterima.

 

Ini juga terpakai pada fenomena lain, di dalam kehidupan ini. Kadangkala, amat sukar untuk kita menerima sesuatu keputusan, atau peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Bagi para pelajar, yang saban hari bergelumang dengan pelajaran dan mengejar cita-cita pengajian, maka saat menatap slip keputusan peperiksaan, ada yang sukar untuk menerima apa yang tercatat sebagai pencapaian mereka. Kenapa sukar menerima kebenaran? Kerana cita-cita kita, adakalanya terlalu tinggi, melangkaui hasil usaha yang kita persembahkan di dalam pengajian dan peperiksaan.

 

Maka belajarlah menerima kebenaran. Kebenaran dapat diterima, dengan neraca Ilmu dan Iman. Perkara-perkara yang berkait soal kehidupan, fitrah, usaha dan kerja, dapat kita hadamkan dengan ilmu dan pengetahuan. Seharusnya, semakin kita memahami sesuatu perkara, semakin kita mendalami ilmu yang berkenaan, semakin kita menerima kebenaran berkait isu tersebut, maka semakin kuat aqal kita melazimi dasar kebenaran tersebut. Kebenaran ini diperolehi dengan ‘open-mind’, yakni membuka minda kita untuk melayari hujah-hujah aqal dan ilmu.

 

Namun, di sana, ada satu lagi aspek kebenaran, yang perlu diterima oleh hati. Kadangkala, aqal mengatakan benar, tetapi hati tetap menolaknya. Ini kerana hati belum terbuka untuk menerima kebenaran, atau disebut ‘belum terbuka menerima hidayah’. Kebenaran yang menyuluh ke hati ini, adalah anugerah dari Ilahi. Apabila kebenaran ini menerangi hati, maka mudahlah hati itu tertarik kepada cahaya kebenaran. Dalam perlambangan hati, kebenaran itu adalah cahaya, dan hati yang bercahaya, adalah yang disuluh oleh iman dan hidayah dari Allah SWT. Manakala kesesatan itu adalah kegelapan, dan kegelapan itu adalah Zulmat (kezaliman) yang bersarang dihati menjadi selaput yang menolak dan menghijab kebenaran.

 

Penolakan kebenaran oleh hati ini, amat sukar merawatnya. Kerap kali, hujah aqal dan ilmu, akan dengan tetap ditolak dan disanggah oleh hati yang dikuasai nafsu dan syahwat. Berhujah dengan orang yang ‘tertutup matahati’nya ibarat berdebat dengan orang pekak, kerana mereka tidak mendengar kita, tetapi hanya ingin menjerit dan melaungkan hujah mereka kepada kita.

 

Oleh sebab itulah, di dalam Islam, untuk menerima kebenaran, kita perlu membuka kedua-dua minda dan hati. ‘Open-heart’ adalah seruannya. Bukakanlah hatimu untuk menerima kebenaran. Jangan benarkan nafsu dan syahwat menjadi dacing neraca aqal dan hatimu, kerana pasti tidak akan bertemu neraca keadilan.

 

Jika membuka minda dengan ilmu, belajar, mengaji dan menambahkan kefahaman dan pengetahuan, maka membuka hati adalah dengan jalan-jalan yang membawa masuk hidayah dan cahaya Allah ke dalam hati. Jalan itu tidak lain, adalah dengan memperbanyakkan ibadah, taubat, istighfar, selawat, dan zikir, serta mendampingi al-Quran dengan mentilawahnya, mentadabbur dan menghayatinya.

 

“Hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi, maka gilaplah ia dengan zikrullah, zikrul-maut dan tilawah al-Quran” – (mafhum al-Hadith)

 

Apabila hati dihidupkan dengan mendampingi Allah dan Rasul, maka mudahlah sinar hidayah masuk ke dalam dada, dan cerahlah pancaran Ilahi menerangi jalan kehidupan. Hati yang bercahaya dan hidup, akan mesra dengan kebenaran, akan mencari kebenaran dan mudah untuk menerima kebenaran, walau di mana dan dari siapa ia ditemui. Hatta jika yang mengungkapkan kebenaran itu adalah seorang anak-anak, atau hamba abdi, orang mukmin yang hidup hatinya tetap akan menerima kebenaran tersebut.

 

Apabila kebenaran telah tiba ke aqal dan hati kita, maka segeralah menerimanya. Jangan menjadi seperti Si Iblis terlaknat, yang secara angkuh takabbur menolak kebenaran, kerana semata-mata ingin menjadi pembangkang!

 

Marilah kita menjadi peribadi yang ‘flexible’, boleh menerima kebenaran dan bersedia mengubah diri kita agar sesuai dengan kebenaran. Janganlah bersifat tegar dan ‘ketegar’ atau degil, dengan pendirian, pendapat dan pandangan kita, yang tersasar dari kebenaran.

 

Kebenaran itu perlu menjadi kayu ukur kita. Kebenaran perlu kita cari dengan ilmu dan pengetahuan, serta hujjah. Kebenaran perlu kita terima dengan hati dan jiwa yang suci, terbuka dan bercahaya. Setelah itu, berlaku jujurlah pada diri kita, marilah berubah, menjadi ‘luwes’ atau ‘flexible’ dengan kebenaran yang tiba, agar kita tetap menjalani baki kehidupan ini di atas jalan yang benar.

 

Kebenaran itu perlu kita terima, jangan sekali-kali disanggah dan ditolak. Kerana kebenaran itu adalah al-Haq. Dan al-Haq itu adalah salah satu dari Asma’ Allah. Menerima kebenaran, bererti menerima Allah al-Haq. Inilah manifestasi “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun”

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 56- CERNA MINDA

Leave a Reply

Artikel

Hubungi Kami

CERNA MINDA SDN BHD
NO 5 – 19 – 03A JALAN MEDAN P8A SEKSYEN 9 43650 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR MALAYSIA
Phone: +603 – 8928 0987
Fax: +603 - 89202498
5
: +601110040387
Website: http://cernaminda.com
Email: management@cernaminda.com
www.facebook.com/cernaminda

Info lanjut: