Call Us: +60111-0040387

MUDAHNYA MELAFAZKAN TAUBAT

558610_657572157611121_964868422_n

Di dalam Surah at-Tahrim, ayat 8, Allah SWT berfirman, mafhumnya:

 

“Wahai orang-orang yang berIman, bertaubatlah kalian kepada Allah, dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu mengampunkan kamu, dan menggantikan dengan amalan yang memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir sungai di bawahnya…”

 

Fahamilah, bahawa kita dituntut untuk bertaubat. Orang mukmin, siapa pun mereka, diperintahkan oleh Allah untuk bertaubat. Tiada yang terlepas dari suruhan bertaubat, selagi namanya Mukmin.

 

Perintah untuk bertaubat ini, Allah mulakan dengan seruan yang penuh mulia, terhormat dan istimewa, buat ‘orang-orang yang berIman’. Seruan ‘Ya Ayyuhallazhina Aamanuu’ ini jualah yang digunakan di dalam ayat-ayat yang memerintahkan kita solat, berpuasa, berjihad, bersabar dan segala perintah dan suruhan Allah yang lain. Fahamlah kita, bahawa Taubat juga adalah salah satu perintah Allah kepada mukmin.

 

Taubat juga adalah sifat mukmin, sepertimana menta’ati Allah dan Rasul, mencintai Allah dan Rasul, dan semua sifat-sifat terpuji yang lain, antaranya Sabar, Ikhlas, Istiqamah, Zuhud, Pemurah dan seumpamanya. Selagi bernama mukmin, maka Taubat adalah sebahagian pekertinya.

Kita perlu bertaubat, terutama apabila melakukan kesalahan dan kesilapan, dosa dan kemungkaran. Bahkan, kita tetap perlu bertaubat, meskipun rasa tidak bersalah, atau merasakan tidak melakukan kesalahan dan dosa (sedangkan merasa tidak bersalah itupun satu bentuk ‘kesalahan dan keaiban’ buat mukmin). Kerana Taubat itu perintah Allah. Kerana kita pastinya tidak sunyi dari noda dan dosa.

 tumblr_mvdx9ynrHh1slvyy5o1_500

Taubat itu sendiri adalah satu proses, yang mendidik mukmin mencapai maqam kehambaan atau ‘ubudiyah kepada Allah SWT. Apabila bertaubat, kita sebenarnya mengasuh diri dan jiwa kita beberapa perkara:

 

  1. Mengiktiraf akan kelemahan dan kedhaifan diri kita, yang mudah terjerumus ke lembah maksiat dan dosa, yang mungkin tergelincir ke kancah dosa dan noda, yang senang tertarik kepada dorongan nafsu dan syaitan. Inilah permulaan jalan menuju Allah, iaitu mengiktiraf dan mengakui kelemahan diri, berbanding kehebatan dan kebesaran Allah. Inilah sifat kehambaan, merasakan kehinaan dan kedinaan diri, yang perlu kepada Allah yang Maha Pengampun dan Pemaaf.
  2. Menyesali kesilapan dan kekhilafan yang telah berlaku, dengan penuh sesalan, kesal, remuk-redam dan kehibaan. Hibanya hati sang pendosa yang bertaubat, ibarat direntap jantung-hatinya dengan kuat, yang menggugurkan, meluluh-lantakkan keegoannya. Rasa bersalah, kesal dan menyesal, akan menghancurkan keangkuhan, keegoan, ketakburan dan kesombongan sang hamba, demi mendambakan maghfirah dan ampunan Ilahi.
  3. Bertekad dan berazam untuk meninggalkan kesalahan dan dosa tersebut, dan tidak mahu kembali kepada situasi tersebut, sepertimana bencinya dicampakkan ke dalam api atau lembah yang busuk dan jijik. Inilah didikan untuk meninggalkan larangan dan tegahan Allah, demi mentaati dan memurnikan ‘ubudiyah kepada Allah. Jika kita ingin kembali kepada Allah, kita perlu menempuh jalan mujahadah nafsu, melakukan tindakan yang bertentangan dan berlawanan dengan hawa, nafsu dan syaitan. Apa yang nafsu suka, kita perlu tinggalkan, agar selaras dengan apa yang Allah cintai. Inilah didikan untuk menundukkan diri dan nafsu kita, agar cinta apa yang Allah dan Rasul cintai, dan benci apa yang Allah dan Rasul murkai.
  4. Melakukan amalan kebaikan sebagai ganti kejahatan. Ini berdasarkan Firman Allah SWT: “sesungguhnya hasanat (kebaikan yang banyak) akan menghapuskan saiyyi-at (kejahatan yang banyak)”. Orang mukmin, apabila bertaubat, terus berubah dari pelaku maksiat, kepada pengamal taat, dari sang penderhaka, kepada hamba yang tunduk-patuh kepada Allah.
  5. Melunaskan segala hak orang lain yang telah dizalimi. Taubat dari perkara yang merosakkan hubungan dengan manusia dan makhluk lain, maka perlu disertai dengan mengembalikan hak orang lain tersebut. Mohonlah kemaafan, perbaiki kesilapan, tutup kesalahan dan tebuslah kejahatan dengan melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang lain. Langkah ini mndidik kita berjiwa besar, kerana sanggup merendahkan diri kita di hadapan mereka yang perlu kita ‘kembalikan haknya’. Hanya yang berjiwa besar, mampu mengakui kesalahannya di hadapan orang lain, dan memohon kemaafan mereka. Seringkali kesombongan dan ‘tinggi diri’ menjadi penghalang kita dari mengakui kesilapan dan kezaliman yang telah dilakukan.

 

Justeru, fahamilah, apabila Allah memerintahkan orang mukmin untuk bertaubat, ianya satu perintah yang merangkumi didikan agung dan mulia, untuk membawa kita taqarrub kepada Allah dengan sifat-sifat kehambaan seperti i’tiraf, kehinaan, faqir, haqir, zalil, dhaif, pasrah dan kepatuhan total kepada Allah SWT. Kita juga perlu bertarung dengan ego dan emosi kita untuk mengaku kelemahan dan kesilapan kita kepada orang lain yang pernah kita zalimi dan sakiti, dan ini semua memerlukan kekuatan Iman untuk melakukannya.

 

Maka, apabila 5 langkah ini dilakukan, kita sedang menempuh proses bertaubat dengan Taubat Nasuha, taubat yang bersih, suci dan murni, tanpa bermuka-muka atau bermain kata-kata sahaja, kerana Taubat dan memohon kemaafan itu lahir dari lubuk hati yang benar-benar remuk-redam, menyesali kelemahan dan kekurangan diri. Inilah antara ciri kehambaan dan ‘ubudiyah yang jujur.

 

Taubat adalah proses, dan juga natijah. Taubat memproses kita untuk memiliki kemuliaan akhlaq seorang hamba kepada Tuhannya, dan ketinggian jiwa mereka yang ingin memulihkan dan memperbetulkan perhubungannya dengan pihak lain. Selagi dalam jiwa ada takbur, angkuh, sombong dan tinggi diri, amat sukar melafazkan taubat dan memohon kemaafan.

 

Anehnya, hari ini mudah sungguh lafaz taubat dihamburkan. Semasa musim perayaan, maka rangkai kata “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin” menjadi ucapan yang begitu mudah dilafazkan. Apakah semudah itu melafazkan Taubat?

 

Taubat bukan sekadar lafaz di bibir, atau ucapan yang diresamkan, bahkan Taubat adalah ibadah yang diperintahkan, yang punyai rukun dan kaifiyat. Apabila lafaz taubat menjadi mainan, kata-kata maaf menjadi pemanis bibir sahaja, maka hilanglah nilainya, gersanglah hikmahnya.

 

Inilah fenomena hari ini, taubat dibuat ‘permainan’, lafaz kemaafan bukan lagi suatu yang dihargai, sekadar pemanis mulut dan pelengkap pantun dan ucapan. Maka, apakah semudah itu kita melafazkan Taubat?

 

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 61- CERNA MINDA

Leave a Reply

Artikel

Hubungi Kami

CERNA MINDA SDN BHD
NO 5 – 19 – 03A JALAN MEDAN P8A SEKSYEN 9 43650 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR MALAYSIA
Phone: +603 – 8928 0987
Fax: +603 - 89202498
5
: +601110040387
Website: http://cernaminda.com
Email: management@cernaminda.com
www.facebook.com/cernaminda

Info lanjut: