fbpx

Michiel de Ruyter: Strategis Perang Yang Lebih Layak Memimpin

Sebuah filem tribut kepada Seorang Panglima Perang yang berjaya menyatukan rakyat Belanda suatu masa dahulu.

Ini adalah kisah Michiel de Ruyter; seorang lagenda rakyat marhaen yang punyai kualiti kepemimpinan terpuji. Tegap bila berdepan dengan kejinya ahli politik opportunis dan penguasa murahan yang lebih senang mengkhianat daripada memimpin rakyat.

Sukar untuk tidak jatuh cinta dengan Michiel de Ruyter selepas menonton filem ini. Ketika mana Republik Belanda diancam serangan Inggeris, Perancis dan Jerman, negara kecil tersebut bergantung harap kepada seorang anak kampung negarawan memimpin serangan di laut bagi mempertahankan tanah air yang dicintai. Dalam pada itu, pergolakan dalam negeri meruncing apabila sumbu-sumbu fitnah-memfitnah sesama rakyat mula dinyalakan ahli politik yang busuk hatinya berebut kuasa.

Michiel de ruyter

Ketika senja kelihatan berpanjangan inilah, Michiel de Ruyter muncul memainkan watak penting dalam penyatuan bangsanya sehingga diangkat menjadi lagenda.

Susunan lakon layar yang divisualkan sang Pengarah dan didokong pelakon utama Frank Lammers buatkan kita berasa begitu bangga sepanjang penontonan dek keberkesanan permainan di layar yang menjemput penonton turut berada dalam konflik dan juang rakyat. Setiap pertempuran di laut, permainan helah samudera dan diplomasi politik yang diwarnakan ke atas canvas tayangan ini menjadikan penonton cemas tertunggu-tunggu bagaimana Michiel de Ruyter meluruskan setiap kekusutan tali-tali kuasa yang dilemparkan kepadanya.

Ini adalah kisah Michiel de Ruyter; seorang lagenda rakyat marhaen yang punyai kualiti kepemimpinan terpuji. Tegap bila berdepan dengan kejinya ahli politik opportunis dan penguasa murahan yang lebih senang mengkhianat daripada memimpin rakyat.

Michiel de ruyter

Diletakkan di depan mata penonton betapa hausnya kerongkong manusia terhadap kuasa sehingga kesetiaan mampu dijual beli atas bisikan angin nafsu. Patriotisme itu jelas disogokkan sebagai slogan untuk ditelan dan dilaungkan rakyat demi menyenyapkan tentangan sementara penguasa mengisi tembolok kerakusan. Percaturan politik yang tak mampu dijangkan bukan kerana ia sukar dijangka. Tetapi, kerana tipisnya iman penguasa terhadap kedaulatan pertiwi seperti mana tipisnya garis sempadan negara.

Dalam ketidak-tentuan arah angin dan rosaknya kompas politik, Michiel de Ruyter masih teguh mengemudi pasukan mengikut peta setia yang dicartakan. Demi keluarga, bangsa dan tanah air tercinta, Michiel terus mempertahankan sempadan dan memenangi pertempuran tanpa mengharapkan balasan dan sanjungan.

Michiel de ruyter

Filem ini cemerlang memindahkan lokasi tontonan kembali ke pinggiran pantai abad 17 di Belanda sebelum wujudnya negara bangsa di zaman moden ini. Tanpa berlewah bermain emosi yang menghanyutkan, Pengarah menjemput penonton bertarung bersama dan menjadi saksi strategi-strategi ampuh Michiel dalam menumpaskan musuh negara. Pengarah tanpa segan silu membuka pekung sejarah negaranya apabila penonton dibiarkan berasa jelik dengan istana dan parlimen yang jijik luar dan dalamnya.

Lalu, rakyat mula memahami siapa yang lebih layak memimpin. Bukan siapa-siapa sahaja boleh memimpin. Hanya negarawan yang memperjuangkan cinta dan bijak mencerap peluang sahaja layak mewakili rakyat. Selebihnya hanya pencatur opportunis yang membocorkan kapal dari bawah sahaja.

Berbanding ahli politik pragmatik, istana yang korup dan anarkis yang gopoh, Michiel de Ruyter lebih cemerlang memimpin negara menuju kesatuan berdaulat.

Michiel de ruyterTapi, kita pun tahu. Jika sekalipun ia menjadi realiti, Michiel pasti dicantas dan ditempangkan kakinya. Begitulah riwayat semua lagenda jujur berkhidmat kepada rakyat.

 

Filem: Michiel De Ruyter
Tahun: 2015
Pengarah: Roel Reiné
Negara: Netherland