Call Us: +603-89208772 / +603-89275258 / +6019-3831987

MERINDUI KAMPUNG ABADI

KAMPUNG ABADI

 

 

Setiap kali tiba musim perayaan seperti ini, atau apabila beroleh tempoh percutian yang agak panjang, hati kita terasa ingin pulang ke kampung halaman. Gamitan kampung halaman ini, kadangkala dikuatkan lagi oleh dorongan dan suasana sekitaran, seperti ketukan beduk, alunan lagu raya, deretan kenderaan yang berpusu-pusu di lebuhraya, atau kesunyian kejiranan yang semuanya telah pulang ke kampung halaman.

 

Kerinduan kepada kampung halaman ini adalah naluri setiap insan, dan fitrah kejadian kita yang sentiasa terikat dan punyai tautan dengan asal-usul kita. Bahkan ianya jua terjelma dalam penciptaan dan kejadian semua makhluk dan sistem di alam ini. Betapa yang asalnya dari tanah, akan kembali ke tanah jua. Yang unsurnya air, akan menjadi air kembali.

 

Kitaran air di alam ini, yang pernah kita pelajari di sekolah dahulu, menjelaskan betapa air itu, dari laut, sungai, tasik dan kolam, akan meruap ke udara menjadi wap dan titis air atmosfera, yang kemudiannya apabila bergabung di udara nan tinggi, akan membentuk gumpalan awan, dan awan ini, apabila cukup sarat dan syaratnya, akan kembali ‘menuangkan’ air hujan ke bumi. Air ini pula, akan mengalir kembali ke parit, sungai dan lautan.

 

Begitu juga kitaran makanan atau rantai-makanan, yang akhirnya semua akan kembali ke tanah, kerana makanan asas makhluk di alam ini, adalah apa yang diragut atau dituai dari bumi. Apabila mati ia, maka ke tanah jua tempatnya, dikebumikan dengan penuh hormat, atau mereput untuk menjadi debu dan tanah.

 

Pepatah melayu juga kaya dengan ungkapan seperti ‘ibarat haruan pulang ke lubuk’ dan ‘pipit pulang ke sarang’. Jika haiwan pun pandai pulang ke asalnya, apatah lagi manusia yang punyai hati dan perasaan. Justeru, pulang ke asal, balik ke kampung, dan seumpamanya, adalah fitrah kejadian yang tidak perlu kita nafikan. Bahkan nilai-nilai murni ini wajar terus dipupuk pada diri anak-cucu kita, agar mereka tidak lupa asal-usul keluarga dan keturunan mereka.

 

Mari kita pergi selapis lagi, sekiranya gamitan untuk kembali ke kampung halaman pada musim cuti atau perayaan sebegini, adalah satu nilai yang positif, maka apakah yang menghalang kita dari merasai kerinduan kepada kampung halaman kita yang hakiki, di alam ukhrawi nanti?

 

Tidakkan kita merasai rindu untuk kembali ke syurga? Bukankah kita semua berketurunan dari Nabi Adam dan Sitti Hawa, ibubapa pertama kita semua? Dan bukankah Adam dan Hawa itu, kampung asal mereka adalah di syurga? Jelaslah, kampung kita yang hakiki, adalah Syurga Allah Subhanahu wa Ta’ala, yang amat indah dan nikmat kejadiannya.

 

Lantaran itu, setiap kali tiba musim balik kampung, jangan lupa untuk menajamkan azam kita untuk kembali ke kampung yang abadi, syurga nan indah, di alam ukhrawi nanti. Jika hendak balik kampung di dunia inipun, kita perlu menbuat persiapan, membawa perbekalan, melengkapkan keperluan dan merancang perjalanan, bagaimana pula jika kita ingin pulang ke kampung syurga tersebut?

 

Kembali ke syurga Allah, menuntut kita membuat persiapan dan perbekalan. Kerana adalah suatu yang sia-sia, sekadar bercita-cita untuk pulang, tetapi tetap duduk diam berpangku tangan. Di dalam Al-Quran, Allah telah menjelaskan bahawa perbekalan yang terbaik adalah bekal Taqwa.

 

“Berbekallah kamu, maka sesungguhnya sebaik-baik perbekalan (Zad) adalah Taqwa” [mohon editor semak no. ayatnya ‘wa tazaawadu fa inna khaira zad at-Taqwa’]

 

Taqwa adalah bekalan, yang menyampaikan kita ke tempat tujuan. Taqwa adalah persiapan, untuk menempuh perjalanan pulang menuju Allah. Taqwa adalah keperluan, yang menyelamatkan kita saat sulitnya laluan.

 

Maka, bagi yang ingin pulang ke kampung syurga, Taqwa adalah pencariannya. Kita dituntut menghimpun bekal Taqwa, dan antara yang membangun Taqwa di dalam jiwa kita adalah amalan berpuasa. Kita diperintahkan berpuasa oleh Allah, dan di dalam ayat tersebut:

 

“Hai orang-orang mukmin, dimaktubkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana dimaktubkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”

(Surah al-Baqarah ayat 183)

 

Allah mengaitkan bahawa amalan berpuasa ini adalah amalan zaman-berzaman, semua umat terdahulu, termasuk kita, tujuannya adalah untuk beroleh bekal Taqwa. Dengan bekal Taqwa inilah, kita semua akan mampu mengharungi perjalanan pulang ke kampung kita yang dirindui, di syurga Allah yang kekal abadi.

 

Berbahagialah mereka yang dapat pulang berhariraya ke kampung halaman, selepas sebulan berpuasa. Khabar lebih gembira, bagi mereka yang mendapat bekal Taqwa dari puasanya, untuk pulang ke kampung syurga. Tidakkah dapat kita bayangkan, jika hanya dengan kembali ke kampung halaman kita di dunia inipun, kita sudah merasai keseronokan dan kegembiraan, bagaimana pula nanti, saat kita berjaya pulang ke kampung syurga.

 

Kerinduan pulang ke kampung halaman, lambaian untuk bertemu sanak saudara, sudah cukup menjadi satu motivasi yang mengatasi penat lelah perjalanan, maka lebih-lebih lagi jika kita merasai kerinduan yang amat sangat, terhadap junjungan kekasih kita, Sidna Muhammad Sallahu ‘alaihi wa Sallam, dan seluruh ahli keluarga, para sahabat Baginda, dan seluruh kaum solihin, pastilah menjadi pendorong utama untuk kita berkejar ke kampung syurga.

 

Setiap muslim, yang punyai hubungan ruh dan jiwa dengan Rasulullah, pastinya akan membara kerinduan untuk bertemu Baginda, untuk kembali bersama-sama Baginda di kampung Syurga Firdaus yang tertinggi. Gamitan syurga ini, pastinya lebih kuat dari lambaian kampung di dunia ini. Syurga itu tinggi nilainya, maka bekal untuk ke sana juga pasti berganda.

 

Justeru, seluruh kehidupan kita ini, fokusnya adalah kampung akhirat. Kita perlu jelas tempat tuju kita, kembali ke syurga nan kekal abadi. Bertempat di syurga bersama para Nabi, syuhada, siddiqin dan solihin, adalah kemuncak cita-cita kita. Moga kita semua bertemu di sana, dan selamat kembali ke kampung asal kita nan abadi. Allahumma Ameen

 

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 59- CERNA MINDA

Leave a Reply

Artikel

Info lanjut: