Call Us: +603-89208772 / +603-89275258 / +6019-3831987

MENGHITUNG HARGA DIRI

HITUNG HARGA DIRI

Di dalam satu riwayat, Saidina Umar ibn al-Khattab radhia Allahu’anhu telah berpesan kepada kita dengan ungkapan berikut:

 

“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang”

 

Menghisab diri, adalah dengan melakukan muhasabah atas diri kita. Menghitung amalan kita, menimbangnya dengan neraca syara’, dan membuat kira-kira akan amalan kita seharian.

 

Kita juga temui kalimah hisab ini di bulan Ramadhan yang lalu, bilamana kita sering dihidangkan dengan hadith-hadith berkenaan kelebihan siyam dan qiyam ramadhan seperti mafhumnya berikut:

 

“Barangsiapa yang siyam Ramadhan dengan penuh keImanan dan Ihtisaban (menghisab diri), maka diampunkan segala dosanya yang terdahulu”

 

“Barangsiapa yang qiyam Ramadhan dengan penuh keImanan dan Ihtisaban (menghisab diri), maka diampunkan segala dosanya yang terdahulu”

 

Hal keadaan menghisab diri, adalah keadaan yang terpuji, kerana seseorang yang sentiasa menghisab diri dan amalannya, akan melakukan ‘check-and-balance’ setiap perlakuan dan amalannya. Jika melakukan amal kebaikan dan soleh, dia bersyukur dan berazam untuk istiqamah dan meningkatkannya. Sebaliknya, apabila terjebak dalam perbuatan yang rosak lagi terkutuk, atau berdosa, maka segeralah dia bertaubat, memohon ampun dari Allah SWT dan berusaha menghindari perbuatan terkutuk itu dan memperbaiki dirinya.

 

Inilah rahsia mengapa Allah ampunkan dosa-dosa terdahulu, bagi mereka yang beramal dengan penuh Iman dan Ihtisaban, kerana sikap dan sifatnya yang sentiasa menghisab dan menghitung diri sendiri.

 

Orang yang sentiasa menghisab diri, akan mudah mengakui kesilapan dan kesalahan diri sendiri, serta terbuka untuk menerima teguran dan nasihat dari pihak lain. Ini kerana, setiap nasihat, teguran dan kritikan itu, dilihat sebagai peluang dan ruang untuknya menilai diri, menghisab kelemahan nafsunya dan mempertingkatkan kekurangan amalannya.

 

Di dalam ilmu pengurusan moden pun, kita ada konsep audit dan pemeriksaan kualiti, melalui pelbagai sistem seperti ISO, 5S, Kaizen, Continuous Improvement dan sebagainya. Prinsip asasnya adalah menyemak amalan agar sentiasa bertambah baik dan diperbaiki mutu perlaksanaannya.

 

Betapa, di dalam khazanah ajaran Islam, telah lama ada prinsip muhasabah diri ini. Inilah keindahan Islam, dan segala kehebatan khazanahnya. Wajar kita gali dan kaji akan ajaran-ajaran Islam ini untuk dihayati kembali di dalam kehidupan hari ini.

 

Apabila keindahan Islam itu diamalkan dan menjadi darah daging kita, maka akan terjelmalah akhlaq dan adab mulia, serta budi pekerti terpuji. Kemuliaan Akhlaq ini disebut sebagai Makarimul Akhlaq. Individu yang menghisab diri, amat berhati-hati agar akhlaqnya tidak cacat atau buruk. Adab dan peraturan sentiasa dipeliharanya, seperti adab dengan ibubapa, adab dengan ahli keluarga, adab dengan guru dan orang tua, adab dengan pemimpin dan pemerintah, bahkan adab dengan semua makhluq di sekelilingnya.

 

Apabila adab menjadi baik dan peraturan dipatuhi, maka jadilah syariat sebagai panduan hidup bermasyarakat. Masyarakat yang berpaksikan syariat, akan meletakkan soal adab dan akhlaq sebagai keutamaan. Tingkahlaku yang bertentangan dengan syariat, adalah tidak beradab dan mencacatkan akhlaq seseorang. Kecacatan perlu diperbaiki, kelemahan perlu dikuatkan, kerosakan perlu dicegah dan maksiat dan dosa perlu ditegah. Muhasabah diri, kini telah berkembang menjadi muhasabah keluarga, masyarakat dan umat. Maka jadilah masyarakat dan umat itu bertamadun dan berperadaban.

 

Apabila semua anggota masyarakat membudayakan amalan menghitung dan menghisab diri, maka wujudlah keadaan ‘check-and-balance’ sesama mereka. Yang lemah dibela, yang salah dibetulkan, yang silap dibaiki, yang cacat dipulihkan. Suasana menghisab diri ini juga berlaku antara rakyat dan pemimpin, bilamana pemimpin terbuka menerima teguran dari rakyatnya. Bahkan di dalam era kegemilangan pemerintahan Islam dahulu, Institusi Hisbah adalah salah satu institusi yang diwujudkan untuk memantau dan menghisab tindakan dan keputusan pemerintah.

 

Institusi Hisbah ini adalah manifestasi nasihat-menasihati antara rakyat dan pemimpin. Pemimpin menasihati rakyat yang tersasar dari kebenaran, dan sebaliknya rakyat pula menegur pemimpin yang menyeleweng dari landasan kebenaran.

Benarlah sabda Junjungan Nabi kita, Rasulullah SAW di dalam satu hadith, mafhumnya:

 

“Agama itu nasihat”.

Para sahabat pun bertanya, “Untuk siapa?”

Maka Nabi menjelaskan:

“Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk para pemimpin mereka dan umum kaum muslimin”

 

Nasihat antara pemimpin dan rakyat, adalah apa yang kita bicarakan tadi. Yakni, wujudnya persekitaran yang kondusif untuk setiap pihak muhasabah diri, melakukan introspektif dan retrospektif. Di dalam istilah moden, maka urustadbir yang sebegini, disebut dengan istilah ‘good gevernance’ atau berintegriti.

 

Persoalan integriti ini adalah soal penting, kerana ianya berkait dengan harga diri kita. Di dalam satu Seminar Integriti, saya berpeluang berkongsi dengan para pesertanya rumus atau formula mudah menghitung harga diri. Saya ungkapkan rumusnya seperti berikut:

 

Harga Diri (HD) = Integriti (I) × Intelligence (I) × Energy (E) ,

Ringkasnya:

HD = I × I × E

Walaupun betapa tingginya intelligence (kepintaran) seseorang, didarab dengan kehebatan tenaga dan usahanya (energy), namun jika tiada integriti (integritinya bernilai sifar), maka harga dirinya tetap sifar atau tidak bernilai!

 

Integriti hanya mengambil nilai 1 atau 0 sahaja, ada integriti, atau tiada. Justeru, setinggi manapun nilai kepintaran dan tenaga usaha kita, jika tiada integriti, kita tetap tidak bernilai, atau hanya mengumpul angka sifar.

 

Ada yang bertanya, mengapa Integriti hanya mengambil nilai 1 atau 0? Jawabnya, jika nilainya 0.5, apa ertinya? Daripada 10 perkara, 5 dia berbohong? Bukankah begitu? Jika Integritinya 0.7, bukankah 3 perkara dia menipu, daripada 10? Maka integriti mesti nilainya 1. Jika ada kecacatan, tetaplah ia menjadi 0. Sifar integriti, maka sifarlah harga dirinya.

 

Marilah kita menghitung harga diri kita. Hisablah diri kita. Apakah markah atau nilai yang layak diberikan kepada diri kita? Renungkanlah….

 

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 60- CERNA MINDA

Leave a Reply

Artikel

Info lanjut: