Call Us: +603-89208772 / +603-89275258 / +6019-3831987

MASIHKAH ADA RAHMAT?

RAHMAT

Seorang rakan FB saya telah berkongsi satu paparan video yang amat menyentuh hati. Ianya adalah rakaman kisah benar yang berlaku di alam haiwan, bilamana seekor harimau bintang (pemangsa) berjaya dirakam sedang menerkam dan membaham mangsanya, seekor baboon (sejenis kera besar). Ketika sedang mengheret mangsanya ke tempat yang lebih selesa untuk meratah habuannya, suatu yang dramatik telah berlaku.

 

Rupa-rupanya baboon betina itu baru sahaja melahirkan seekor anak, dan anak baboon yang masih ‘basah’ itu masih bergayut pada perut ibunya yang telah terkulai mati. Melihat ‘bayi’ tersebut, harimau bintang yang ‘ganas dan bengis’ tadi, serta merta berubah menjadi makhluk yang belas kasihan kepada ‘bayi’ tersebut. Harimau tersebut segera meninggalkan ‘hidangan’nya untuk menyelamatkan dan menjaga anak baboon itu.

 

Video tersebut seterusnya merakamkan bagaimana harimau itu berbaring di sisi anak baboon tersebut, mengusap dan membelai serta menjilat-jilat tubuh anak baboon yang masih trauma dek ketakutan dan kehilangan ibunya. Semalaman harimau itu menjaga anak baboon itu, sehingga kedua-duanya tertidur dengan anak itu berada di pangkuan harimau tersebut. Pengulas itu menyebut “kini anak baboon itu mulai menerima ‘ibu angkat’nya dan akan dibesarkan oleh harimau tersebut.

 

Ini adalah rakaman kehidupan, bukan lakonan, lantaran amat mustahil haiwan liar boleh disuruh untuk melakonkan watak-watak tertentu. Justeru, pemerhatian terhadap alam dan makhluk di sekiling kita, jika diamati dengan pancaran cahaya Ilahi, dan hati yang hidup, nescaya membangkitkan perasaan yang mendalam akan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

 

Benarlah firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 190-191, mafhumnya: pada penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang adalah merupakan tanda-tanda bagi Ulil-Albab, yang sentiasa berzikir kepada Allah dalam setiap hal kehidupannya.

 

Lihatlah, betapa makhluk Allah dari jenis haiwan yang amat ganas dan rakus, spesis harimau bintang yang terkenal tangkas dan pemangsa, masih punyai Rahmat terhadap anak baboon yang lemah dan memerlukan. Betapa Allah menerbitkan rasa kasih dan belas pada sang harimau tadi, yang telah memadam sifat bengis dan rakus, untuk berubah menjadi penyelamat dan penjaga kepada makhluk lain yang memerlukan.

 

Jika harimau masih punyai rahmat dan belas ihsan, bagaimanakah makhluk yang bernama manusia boleh menjadi ganas, tiada belas ihsan dan peri kemanusiaan? Betapa banyak kita membaca paparan di dada akhbar, kisah bayi yang baru lahir, ditemui mati di dalam tong sampah, ditinggalkan di tandas, dibaham anjing liar kerana dibuang oleh ‘ibu’ yang melahirkannya? Begitu juga kisah-kisah kejam pembunuhan dan peperangan yang mengakibatkan angka korban yang tidak sedikit. Manusia sanggup berbunuhan dan berperang, kerana sebab dan faktor yang kecil dan remeh. Seolah-olah nyawa dan kehidupan ini menjadi suatu yang amat murah dan tidak bernilai. Apakah masih ada Rahmat, pada hati-hati yang sebegini?

 

Dalam satu hadith Rasulillah SAW, mafhumnya, Baginda menjelaskan bahawa Allah SWT itu bersifat dengan sifat Rahman dan Rahim, dan di sisi Allah ada seratus Rahmat, dan Allah mencampakkan ke dunia ini hanya satu dari RahmatNya, dan menyimpan 99 Rahmat lagi di sisiNya. Maka dengan satu Rahmat itulah, segala makhluk di atas mukabumi ini dapat hidup, ibu-ibu menyayangi anaknya, ayah menjaga keluarganya, anak-anak mengasihi ibubapanya, dan sistem alam ini berjalan dan berfungsi dengan baiknya. Persoalannya, apakah Rahmat Allah yang satu itu, masih ada di sekeliling kita kini?

 

Jika tiada Rahmat, manusia boleh menjadi sejahat-jahat makhluk. Apabila kasih-sayang sudah gersang, maka yang tinggal hanyalah kebencian dan permusuhan. Hidup dalam suasana yang tegang, kasar dan ‘hostile’, akan mengeraskan hati-hati kita. Kerana itu, mereka yang masih ada bibit Rahmat, amat mendambakan kehidupan yang harmoni, aman dan damai. Dengan Rahmat Allah, akan suburlah kasih-sayang dan perdamaian, yang memancarkan kehidupan yang bahagia lagi membahagiakan.

Kerana itulah, antara do’a yang sering kita amalkan setiap kali selepas solat, adalah sepetri berikut:

“Ya Allah, RahmatMu yang amat kuharapkan, maka janganlah Kau biarkan aku terkapai-kapai pada nafsuku, meskipun cuma sekelip mata, atau yang lebih singkat dari itu, Wahai Allah yang Maha Menerima permintaan.”

Mari kita suburkan sifat kasih-sayang dan rahmat di dalam hati kita, agar terhakislah perasaan yang negatif, permusuhan dan keganasan. Marilah kita gantikan tindak-kasar dan ganas kita, dengan amal-baik rahmat dan kasih-sayang. Apabila kasih-sayang menjadi pakaian, maka kehidupan pasti akan menjadi amat membahagiakan, kerana kita berada di bawah naungan Rahmat Allah SWT.

Benarlah Sabda Rasulullah SAW:

“Orang yang berkasih-sayang (ar-Rahimun), akan dikasihi oleh ar-Rahman tabaroka wa ta’ala,

Kasihilah oleh kamu semua yang di bumi, nescaya kamu dikasihi oleh yang di langit.”

 

Rasulullah SAW memerintahkan kita mengasihi ‘semua yang di langit’, tanpa terhad hanya kepada muslim sahaja, bangsa melayu sahaja, atau kaum keluarga kita sahaja. Bahkan sifat Rahmat, kasih dan sayang itu sewajarnya tanpa had, kepada semua, tidak mengenal batas bangsa, agama dan geografi, hatta kepada makhluk yang lain juga, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar, kita juga perlu memiliki sifat rahmat. Sifat perkauman melampau atau racist, adalah bukan dari ajaran Islam.

 

Dengan hadith ini, fahamlah kita bahawa seorang muslim mukmin itu adalah amat mengasihi semua yang disekelilingnya. Seorang muslim mukmin bukan makhluk perosak, tidak penjenayah, jauh lagi pemusnah, kerana sifat rahmat itu sudah tertanam di dalam jiwanya. Seorang muslim mukmin juga, adalah seorang yang amat berpegang kuat pada akhlak dan pekerti mulia yang diajarkan oleh kekasih kita, Rasulullah SAW, kerana baginda adalah sebaik-baik contoh teladan kita dalam menyebarkan Rahmat Allah SWT ke seluruh pelosok alam.

 

Marilah kita kembali kepada ajaran Nabi ini. Mari kita jadi penyebar Rahmat, bukan kebinasaan. Mari kita contohi kemuliaan Akhlaq Rasulillah SAW, kerana inilah jalan untuk kita menyuburkan Rahmat ke seluruh ‘alam.

 

Benarlah Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, mafhumnya:

“Dan tidaklah Kami utuskan kamu (Rasulullah), melainkan sebagai Rahmatan lil ‘alamin, Rahmat untuk seluruh ‘alam”.

Inilah misi besar kita. Mari sebarkan Rahmat ke segenap penjuru ‘alam…

 

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 57- CERNA MINDA

 

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Artikel

Hubungi Kami

CERNA MINDA SDN BHD
NO 5 – 19 – 03A JALAN MEDAN P8A SEKSYEN 9 43650 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR MALAYSIA
Phone: +603 – 8928 0987
Fax: +603 - 89202498
CEO (Ir. Ahmad Jais): +6019 - 3343355
COO (Suhaimi): +6019 - 3831987
Website: http://cernaminda.com
Email: suhaimi@cernaminda.com
www.facebook.com/cernaminda

Info lanjut: