Call Us: +603-89208772 / +603-89275258 / +6019-3831987

MALAM-MALAM YANG MULIA

MALAM2 MULIA

 

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menciptakan siang dan malam. Bahkan silih bergantinya siang dan  malam itu jua adalah ketentuan Allah. Dek kerana pergantian siang dan malam itulah, kita dapat menghitung usia. Kerana kehidupan itu berlalu, dengan bersilih-gantinya malam dan siang.

 

Cuba bayangkan, betapa keadaan kehidupan ini, jika tiada malam atau siang? Jika siang sahaja berpanjangan, bagaimana kita mahu menghitung hari? Atau jika malam sahaja tanpa siang, betapa gelapnya kehidupan ini? Inilah keindahan malam dan siang, yang Allah jadikan buat kita.

 

Malam dan siang, sama-sama mulia, kerana kemuliaan mereka bergantung kepada pengisian kita terhadap siang dan malam itu. Bagi yang menghabiskan masa siangnya dengan kerja yang sia-sia, maka tiadalah nilai produktif pada siangnya, sepertimana mereka yang mensia-siakan malamnya dengan perlakuan berfoya-foya, maka kerugianlah buatnya. Oleh kerana siang dan malam itulah yang membentuk kehidupan, maka mereka yang mensia-siakan waktu siang dan masa malamnya, adalah tergolong dalam mereka yang rugi, kerana mereka tidak tahu menilai ketinggian harga setiap detik dan masa.

 

Benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Asr (1 – 3), mafhumnya:

“Demi Masa (kehidupan). Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang berIman, dan yang ber’amal soleh, dan berwasiat dengan kebenaran, dan berwasiat dengan kesabaran.”

 

Waktu siang dan malam kita, akan dikira rugi, kecuali ianya terisi dengan perkara-perkara yang digariskan di dalam Firman Allah SWT tersebut. Andainya hidup tanpa Iman, maka penghujungnya dikhuatiri tidak mencapai husnul-khatimah. Saat dan detik yang berlalu, tidak dalam ‘amal soleh, maka ‘amal kejahatan atau lalai yang tercatat, dan itu tidak menjadi bekal untuk kita bertemu Allah SWT nanti di Hari Qiamat.

 

Justeru, kita amat memerlukan wasiat, pesanan, ingatan dan panduan yang benar dan sabar, dalam memastikan kehidupan kita ini di atas landasan yang lurus (Sirat al-Mustaqim). Wasiat dan pesanan itu, adalah tindak dua-hala, antara yang memberi dan menerimanya. Dalam satu Hadith Rasulullah SallAllahu ‘alaihi wa Sallam yang mulia, Sidna Baginda telah bersabda:

“Agama itu adalah Nasihat”. Para sahabat telah bertanya: “Untuk siapa?”. Maka jawab Baginda: “Untuk Allah, Rasul, para Imam mukminin dan orang ‘awam mereka.”

 

Nasihat atau wasiat, adalah perlu dibudayakan, kerana ianya tuntutan di dalam al-Quran dan al-Hadith.  Nasihat yang berkait dengan Allah, adalah dengan kita menerima semua ajaran dan perintahnya, dan menyampaikan ajaran itu kembali. Nasihat dan wasiat dari Allah itu, dapat kita temui di dalam Kitab al-Quran. Membaca al-Quran, ibarat sedang membaca warkah isitmewa dari sang kekasih, yakni Allah SWT. Semakin kita enak membacanya, semakin menusuk ke jiwa kandungan warkah tersebut. Benarlah kata hukama’ : “Jika kita ingin Allah berbicara dengan kita, maka bacalah al-Quran, kerana pada saat itu, kita sedang dipertuturkan kalimat dan ayat-ayat dari Allah SWT”.

 

Kemudian, apakah ada ruang untuk kita berbicara dengan Allah SWT? Kehidupan ini ada turun-naiknya, sedih-gembiranya atau susah-senangnya. Secara fitrah, saat kita di kedudukan lemah, susah, sedih dan bawah, kita amat memerlukan pautan yang kuat ke tempat yang tinggi dan kukuh. Maka pergantungan yang paling kuat, adalah kepada Allah SWT.

 

“Berpeganglah dengan tali Allah” adalah saranan Allah di dalam Surah Ali ‘Imran. Ya, kita diminta berpaut dan berpegang dengan ‘tali’ Allah. Tali (atau Line) biasanya merujuk kepada ‘saluran komunikasi’. Boleh lah kita fahami, dalam kehidupan ini, kita perlu punyai ‘saluran komunikasi’ atau line yang kuat dengan Allah SWT. Kita perlu kuat berkomunikasi dengan Allah SWT, dan jangan sekali-kali terputus hubungan dengan Allah SWT. Apabila tali terputus, maka jadilah kehidupan ini terumbang-ambing di udara, ibarat layang-layang putus talinya.

 

Komunikasi dengan Allah, berlaku secara rasmi dan khusus, semasa kita menunaikan solat. Ketika sedang solat, kita secara fizikalnya memutuskan segala komunikasi dengan makhluk dan sekitaran, untuk hanya menumpukan segala fikiran, percakapan, bacaan, hati bahkan pergerakan kita, untuk Allah SWT.

 

Bermula kita melafazkan Takbiratul-Ihram apabila memulakan solat, kita diharamkan untuk berjalan, berbual, melakukan perkara yang membatalkan solat atau tidak fokus kepada amalan di dalam rukun solat. Semua ini kerana kita ingin mulakan komunikasi kita dengan Allah SWT. Tidak boleh ada ‘cross-talk’, interference atau gangguan siaran. Kita hanya berkomunikasi dengan Allah SWT. Benarlah kata hukama’: “Jika kita ingin berbicara dengan Allah SWT, maka kerjakanlah solat”.

 

Komunikasi dua hala, antara kita dengan Allah SWT, perlu dipelihara setiap hari, sepanjang kehidupan ini. Dengan solat, kita ‘berbicara’ dengan Allah, dan apabila membaca al-Quran, Allah sedang ‘berbicara’ dengan kita. Mereka yang menjaga kedua-dua saluran komunikasi ini, hakikatnya sedang berpegang dengan ‘tali’ Allah yang amat kuat. Talian komunikasi ini, jika terputus, bakal menjerumuskan kehidupan kita ke kancah kerugian.

 

Jika kita renungi lebih lanjut, solat dan khatam al-Quran, adalah amalan yang menyelamatkan kita. Kehidupan yang sempurna, bergantung kepada sejauhmana kita sempurnakan tuntutan solat dan al-Quran. Semakin baik kualiti solat dan khatam al-Quran kita, maka semakin kita mencipta kualiti dalam kehidupan. Peribadi berkualiti, adalah yang menjaga solat dan al-Quran.

 

Begitulah kedudukan solat dan al-Quran di dalam kehidupan ini. Ianya adalah dua perkara yang amat utama, dan tidak wajar dikesampingkan. Suatu yang penting dan utama, maka mentakzimkan (memuliakan) kedua-duanya adalah satu tuntutan dan kehormatan.

 

Bahkan, Allah SWT sendiri memuliakan solat dan al-Quran dengan contoh terbaik. Ibadah solat, difardhukan secara langsung dari Allah kepada kekasihNya Sidna Rasulillah SAW, tanpa perantaran, pada malam Isra’ dan Mi’raj. Kemuliaan malam itu, disebut di dalam al-Quran pada surah al-Isra’, ayat 1.

 

Begitu juga al-Quran, malam ianya ditanzilkan disebut sebagai Malam al-Qadr (Lailatul-Qadr). Kemuliaan malam ini ditegaskan di dalam Surah al-Qadr, lebih baik dari seribu bulan. Betapa besar kesan ‘komunikasi’ dengan Allah ini, dalam melonjakkan nilai kehidupan. Satu malam al-Qadr, setara dengan 1000 bulan.

 

Maka, pada malam-malam yang mulia ini, terutama malam Isra’ dan Mi’raj, dan malam al-Qadr, kita harus menghidupkannya dengan amalan. Malam-malam ini mulia, kerana Allah sendiri memuliakannya di dalam al-Quran. Malam Isra’ itu mulia, kerana Mi’raj Nabi ke langit bertemu Allah, untuk menerima fardhu solat. Solat itu saluran komunikasi kita dengan Allah. Malam al-Qadr pula mulia, kerana turunnya al-Quran pada malam itu. Al-Quran adalah saluran komunikasi Allah dengan kita.

 

Inilah malam-malam yang mulia. Jika kita ingin hidup mulia, jangan abaikan malam-malam yang mulia ini. Ia datang setahun sekali sahaja, jangan sia-siakan atau lalaikan. Kehidupan itu adalah silih berganti siang dan malam, apabila berlalu malam, siang akan tiba. Jangan biarkan malam berlalu, tanpa dipenuhi dengan ‘amalan. Moga Allah menerima ‘amal kebaktian kita di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita semua beroleh kehebatan malam al-Qadr.

 

 

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 58- CERNA MINDA

 

 

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Artikel

Hubungi Kami

CERNA MINDA SDN BHD
NO 5 – 19 – 03A JALAN MEDAN P8A SEKSYEN 9 43650 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR MALAYSIA
Phone: +603 – 8928 0987
Fax: +603 - 89202498
CEO (Ir. Ahmad Jais): +6019 - 3343355
COO (Suhaimi): +6019 - 3831987
Website: http://cernaminda.com
Email: suhaimi@cernaminda.com
www.facebook.com/cernaminda

Info lanjut: