Call Us: +603-89208772 / +603-89275258 / +6019-3831987

LIBASAN MASA

libasan-masa

Ada sepotong pepatah Arab, yang pernah diajarkan kepada saya, mafhumnya:

“Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita!”

Begitulah sifat masa, yang pantas berlalu, tajam potongannya, halus gerakannya dan seni kawalannya, ibarat sebilah pedang yang tajam, di tangan seorang pendekar yang hebat.

Di dalam seni berpedang, kepantasan dan kejituan adalah dua aspek utama. Pemain sukan lawan pedang perlu punyai kepantasan dalam menghayun dan menetak sasarannya. Dan hayunan pedang itu juga perlu kepada kejituan agar sasaran yang dibantai itu benar-benar berkesan untuk menewaskan lawan.

Di dalam seni pertempuran pada zaman dahulu (sebelum adanya senjata api), kebolehan bermain senjata tangan adalah kemestian. Pelbagai alat senjata tangan direkacipta oleh manusia, seperti pisau, parang, kapak, pedang, tombak, lembing, tekpi, kerambit, ‘pisau rambo’ dan sebagainya. Semua alatan ini punyai ciri utama yang sama iaitu ‘tajam dan memotong’.

Untuk sesuatu hayunan itu benar-benar menewaskan musuh, alatan itu mestilah tajam, yang boleh menusuk dan mencederakan musuh dengan satu tusukan atau hayunan sahaja. Darjah kesan tusukan atau tikaman atau tetakan ke atas musuh itu, bergantung pula pada bahagian anggota mana yang terkena senjata tersebut. Inilah elemen kejituan.

Pendekar yang hebat, akan mampu memukul dan menetak sasaran tepat pada anggota atau titik lemah yang ktitikal, seperti tengkuk, kepala, dada dan perut. Jika tikaman itu tepat ke jantung atau dada yang mencederkan organ dalaman, pendarahan yang banyak itu akan melemahkan musuh dan boleh membawa kematian kepadanya.

Begitu juga jika libasan pedang itu tepat ke tengkuk atau leher musuh, dengan kepantasan, kelajuan dan kejituan hayunan, boleh terus memenggal kepala musuh dengan satu hayunan sahaja. Bacalah kisah-kisah kehebatan panglima dan tentera-tentera pada zaman dahulu. Sejarah dan catatan perjuangan mereka ini, selalunya disampaikan turun temurun kepada generasi seterusnya, supaya nilai perjuangan, keberanian, ketangkasan dan kepantasan, serta kejituan dan ketepatan menjadi nilai yang diwarisi bersama.

Justeru, apabila ada pepatah yang menyatakan masa ibarat pedang, maka ianya begitu mudah ditangkap dan ditanggap maksudnya.

Masa juga berlalu dengan pantas dan jitu. Tidak dapat diulang-kembali masa lalu yang telah pergi, hantta sedetik-dua sebelum ini, ianya sudah memotong dan pergi meninggalkan kita.

Jika kita gagal mengendalikan musuh, maka dalam pertempuran tersebut, kita terdedah kepada libasan ganas dan bahaya dari lawan kita. Begitulah dengan masa. Jika kita gagal menjaga dan mengawal masa, maka masa itu sendiri akan memotong dan mencederakan kita.

Masa yang tidak terisi dan terkawal, akan lebih mendatangkan mudarat kepada kita. Sifat kita, umumnya amat sensitif jika ada yang ingin mengajar-ajar kita. Kenapa perlu ada perspektif sebegini? Keegoan menerima teguran dan kritikan, menjadi kita ini ibarat panglima buta dan tuli, yang bertempur di medan perang. Mana mungkin pedang ditangannya dapat dihayun tepat ke musuh, jika mata dan telinga tidak dapat melihat dan mendengar hiruk-pikuk pertempuran, maka refleksi dan seni/buah silat itu. Justeru, dalam situasi itu, jika tidak memotong, akan dipotong, jika tidak memancung, kita akan dipancung.

Justeru, mari kita jaga dan kawal masa kita. Hayunkan masa kita kepada tempat yang betul, dengan hayunan yang jitu dan pantas. Jika tidak, masa akan memotong kita. Masa yang pergi dan memotong kita, tiada yang tinggal, melainkan kekecewaan, kesedihan dan ‘luka’ yang berpanjangan.

Nah! Pilihannya di tangan kita, adakah kita membiarkan masa ‘memotong’ kita, atau masa itu kita yang kawal dan tangani, menjadi alat memotong yang hebat dan berguna untuk kita..

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias As-Syazili

Majalah SOLUSI 63- CERNA MINDA

Leave a Reply

Artikel

Hubungi Kami

CERNA MINDA SDN BHD
NO 5 – 19 – 03A JALAN MEDAN P8A SEKSYEN 9 43650 BANDAR BARU BANGI, SELANGOR MALAYSIA
Phone: +603 – 8928 0987
Fax: +603 - 89202498
CEO (Ir. Ahmad Jais): +6019 - 3343355
COO (Suhaimi): +6019 - 3831987
Website: http://cernaminda.com
Email: suhaimi@cernaminda.com
www.facebook.com/cernaminda

Info lanjut: