Kita akan Menuai hasil, dari Benih yang disemai

Jika mahu Memandaikan Anak Bangsa, maka semailah benih cintakan ilmu, suka belajar dan meminati bidang yang diceburi.

Abjad yang ingin kita perkatakan dalam Siri Abjadiyat DNA Cerna Minda pada minggu ini, adalah Huruf H; dan kalimatnya adalah:

HARVEST

Musim Menuai adalah saat indah bagi Pak Tani, kerana setelah berpenat lelah di sawah bendang atau ladang, maka kinilah saatnya untuk mereka mengecapi hasil tanaman.

Segala usaha mereka selama ini, bermula dengan menyediakan batas anak benih, menanam, membaja, menjaga dari makhluk perosak, memastikan cukup air dan keperluan tumbesaran pokok, hinggalah tanaman membuahkan hasil, sama ada padi yang saujana menguning, atau tandan sawit yang sedia untuk dikait; semuanya diarasakan berbaloi jika hasilnya lumayan dan menjadi.

Pertanian adalah kerja manusia, yang membawa diri dan hati pelakunya cukup dekat dengan Tuhan, kerana faktor alami yang amat banyak memberi kesan kpd tanaman dan hasil tuaian. Sepanjang proses dan fasa penanaman dan menanti saat boleh dituai, para Petani sentiasa dlm keadaan pasrah dan mengharapkan tiada kejadian atau bencana terjadi yang bakal merosakkan tanaman, atau menyebabkan penghasilan menjadi sedikit, rosak, terencat atau mati.

Kadangkala faktor luar kawal juga boleh terjadi…banjir, kemarau, serangan serangga, penyakit tanaman, ataupun, musim tanaman tiba-tiba tidak menjadi, kerana semua itu urusan Allah dalam memberikan rezeki dan kurniaannya kpd kita, hambaNya.

Apa yang termampu, adalah kita perlu berusaha dan ikhtiar sebaik mungkin, bermula dengan pemilihan benih yang terbaik, kaedah penanaman yang sempurna, penjagaan yang sebaik dan semampu mungkin selagi dalam kawalan kita; seperti mendapatkan baja dan racun serangga yang sesuai, kaedah pertanian moden yang tekini, khidmat nasihat pakar pertanian, sokongan pasukan dan kelompok,serta gerakerja terancang sesama warga tani, antara resipi peningkatan hasil pertanian.

Justeru, setelah berusaha sebaik mungkin, maka pada musim menuai, ia adalah saat kita mendapat hasil atas apa yang diusahakan.

Jika menyemai terung, mana mungkin diharap petola yang tumbuh. Jika benih cempedak yang ditanam, janganlah bermimpi mendapat Musang King!

Maka inilah formula kehidupan, atau Sunnatullah dalam Kehidupan; kita mendapat apa yang kita usahakan. Jika mahu berjaya, maka perlu bermula dari awal, tanam minat, niat dan hasrat ingin maju dan berjaya, mudah2an akan tumbuh subur menjadi pohon kejayaan yang kita kecapi hasilnya nanti.

Inilah DNA yang ingin Cerna Minda kongsikan dengan para penuntut dan bakal penuntut kami. Setiap orang punyai potensi untuk berjaya, maka yang utama adalah perlu bermula dengan menyemai benih kejayaan dlm diri kita semua.

Setiap orang perlu diberi peluang untuk berjaya. Jangan sekat atau rencat tunas yang ada dlm diri masing-masing. Suburkan tunas ingin memajukan diri dan kerjaya itu, agar tumbuh dan merendang menjadi pohon kemajuan dan kejayaan yang subur. Hasilnya kita kecapi bila tamat pengajian nanti.

Mendapat Diploma Professional perlu jadi buah kejayaan yang ingin dan boleh dikecapi oleh semua, maka semai dan bajai tunas itu, agar dapat bersama2 dipupuk dengan module dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, sampai tamat dan bergraduasi.

Inilah tugas besar Cerna Minda, Perjuangan Memandaikan Anak Bangsa ini, adalah ibarat perjuangan para petani di ladang; penat, lelah dan meletihkan, tapi semuanya terubat bila sampai musim menuai. Kegembiraan kami nanti, adalah bila melihat satu demi satu graduan Cerna Minda, berbaris dan naik ke pentas untuk menerima skrol Diploma masing-masing.

Itulah Hari Penuaian. Barulah kita fahami, mengapa masyarakat petani tradisi dari pelbagai budaya dan latar, ada Pesta Menuai mereka tersendiri…kerana Menuai Hasil Usaha Sendiri itu, adalah Manifestasi Kemenangan, Kejayaan dan Pencapaian.

Cerna Minda komited, untuk mencapai impian kita bersama.

Ir. Ahmad Jais Alias

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. AcceptRead More