Kapal Kena Hijacked! CEO Syarikat Jadi Harapan Tunggal

Anda nak sangat jadi CEO Syarikat macam Tony Fernandes? Berangan nak miliki empayar perniagaan sendiri yang luas satu dunia? Anda layakkah

Tonton dahulu filem KAPRINGEN (2012) ini. Melalui filem rampasan kapal ini, anda akan mula mengenali betapa besarnya beban di pundak seorang CEO syarikat. Filem ini memaparkan kejantanan CEO yang terbukti apabila beliau nekad menggalas beban menjayakan negosiasi pengganas demi membawa pulang kapal dan kru. Lepas tonton, fikir kembali adakah peribadi anda setara dengan karisma sebenar seorang CEO.

KAPRINGEN (A Hijacking – Denmark)

 
Peter; merupakan seorang CEO syarikat perkapalan yang handal dalam tawar-menawar bisnes. Penonton boleh mengakui bahawa Peter ada ciri CEO yang hebat. Beliau tidak angkuh, punyai karisma dan gagah bila berdepan cabaran bisnes. Angka juta-juta permainannya tidak terasa janggal. Dengan jiwa yang besar, Peter sentiasa yakin bahawa nasib pasti sentiasa menyebelahinya. Pun begitu, langit tak pernah sentiasa cerah. Mendung bisnes kerap menutup sinar mentar. Memburukkan keadaan, kali ini ia datang dengan petir sabung-menyabung apabila salah sebuah kapalnya ditawan lanun di laut luas.

Masalah yang dihadapi ini membuatkan Peter perlu lakukan tindakan berani yang tepat. Tidak pasti sama ada ia adalah ego ataupun sikap bertanggungjawab, namun, tindakan Peter nekad memikul peranan besar menjayakan negosiasi dengan lanun ini membuatkan aura seorang majikan berkarisma ini semakin menyerlah. Kita mengkagumi skil Peter mengimbang-imbang antara kepentingan syarikat dan keluarga mangsa ketika didesak lanun. Peter perlu memastikan misinya berjaya. Dalam masa yang sama, memastikan imej syarikat tidak tercalar.

CEO Syarikat
CEO yang hebat adalah yang pertama berada di barisan hadapan pertahankan syarikat
 
Filem ini adil kepada para CEO syarikat yang kerap digambarkan dengan penampilan-penampilan manis dan indah. Jarang watak CEO diketengahkan dengan imej ditampar risiko dan beban yang dipikul dalam membangunkan syarikat.

CEO adalah kepala syarikat yang menjadi benteng paling ampuh menghalang bencana dari meranapkan sesebuah syarikat. Pegawai bawahan, staf dan pasukan kerja yang lain pasti jarang-jarang dapat melihat sisi CEO sebegini. Kapringen (2012) boleh bertindak sebagai peluang mengenali CEO dengan lebih dekat.

Mood penceritaan tidak pantas seperti mana-mana filem penculikan dan rompakan lain. Namun, ia memberikan tekanan dan debaran meresahkan seiring menzahirkan emotional distress yang memeritkan. Ketika menonton, kita tidak dijanjikan seperti berada dalam ‘roller coaster ride’ yang melambung-lambung. Ini bukan filem sebegitu. Macam Paskal (2018)? Eh, tak. Jauh sekali.

Tidak! Ia bukan filem bertih jagung. Lambungan dalam filem ini, diibaratkan seperti lambungan ombak di laut dalam. Ritmanya dan ketegangannya berbeza. Mualnya, mabuknya dan tekanannya seperti berada ketika situasi sebenar tanpa dicantik-cantikkan.

CEO Syarikat
Jika anda benar-benar memiliki karisma seorang CEO, barulah bangga bergelar CEO syarikat

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. AcceptRead More