fbpx

First Man (2018): Tidak Gagal Meraikan Kejayaan!

Bulan itu adalah impian yang mendoakan kekuatan atas setiap kegagalan.

First Man (2018) paparkan Neil Armstrong sebagai insan marhaen biasa yang mampu meminjamkan kasutnya kepada sesiapa sahaja bagi memahami peri-penting kegagalan dalam menujah kejayaan. Ketika memandang ke langit, kita sedar bulan itu adalah impian yang mendoakan kekuatan atas setiap kegagalan.

0 85

FIRST MAN (2018) adalah kisah seribu satu kegagalan yang dilupakan dalam membuahkan suatu kejayaan yang diraikan.

First Man

Sering diratibkan bahawa kemegahan bendera Amerika Syarikat berkibar di tanah berbatuan bulan itu adalah tanda kemenangan blok mereka menumpaskan ego Kesatuan Soviet. Neil Armstrong yang dijulang tinggi itu cuba dijenamakan sebagai persona gagah yang perlu digeruni dan dipaksa-paksakan inspirasi demi mengalahkan populariti Yuri Gargarin yang menempa nama terlebih dahulu. Pun begitu, cukup di titik tersebut, tampaknya kita sudah berlepas noktah dan menghentikan bicara. Sebagai masyarakat dunia biasa, kita pasti akan terikut-ikut tarian politik pertelagahan dua blok tersebut. Jari telunjuk yang menunjuk ke bulan itu, akhirnya buat kita larut dalam perbincangan blok peperangan dunia

Mujur Damien Chazelle hadir dengan filem FIRST MAN (2018); sebuah filem adaptasi dari buku First Man: The Life of Neil A. Armstrong oleh James R. Hansen. Beliau hadir menawarkan perspektif baharu dengan naratif penghayatan yang meletakkan apresiasi terhadap kejayaan pada satu tempat khusus yang tidak bercampur dengan semboyan dan gangguan fokus. Dalam FIRST MAN (2018) Neil Armstrong dipaparkan sebagai insan marhaen biasa yang mampu meminjamkan kasutnya kepada sesiapa sahaja untuk disarung masuk dan memahami peri-penting kegagalan dalam menujah kejayaan.

Filem ini mengikuti setiap kegagalan Neil Armstrong secara peribadi dan secara berorganisasi sejak dari babak pertama lagi. Pengarah sengaja membiarkan watak Neil dilihat gagalis, tiada persona gagah dan naif demi menyediakan penonton dengan perasaan tiada ‘expectation’ palsu terhadap kejayaan. Pengarah faham benar bahawa majoriti penontonnya tahu tentang tajuk-tajuk akhbar yang memuja kejayaan ini. Jadi, biarlah beliau menceritakan dengan gaya yang lebih menghargai erti jaya. Bulatnya tekad Pengarah berjaya menjadikan filem ini seolah-olah berbisik ke dalam kepala ketika mendongak memandang ke langit, lalu, buat kita sedar bahawa bulan yang sedang dicerap itu adalah jelmaan impian yang mendoakan kekuatan atas setiap kegagalan.

“We need to fail down here so we don’t fail up there”

-Ryan Gosling sebagai Neil Armstrong

First Man

Sentuhan retrospektif dari gaya visual dan skor muzik seperti mengiringi hajat Damien Gizelle mengajak penonton merasai sendiri apa yang berlaku dengan gaya arahannya yang kuat berunsur realisme. Ya! Kita sedang bicara hal belakang tabir NASA yang tak semua orang tahu lewat 60-an. Pengarah benar-benar menyediakan ruang yang menghantar kita ke zaman silam di mana semua kejadian ini berlaku.

Dengan gaya perlahan, kita terikut menari dengan gaya Pengarah bercerita sebelum dicekup leher tersesak nafas dengan jerutan kejutan yang dibikin tanpa disedari, secara berperingkat yang cantik. Kegagalan dilihat indah apabila kita mula menghidu haruman kejayaan dari setiap peluh jantan kejatuhan.

Pasukan Damien Chazelle (yang sebelum ini sudah buat kita tak lena tidur selepas WHIPLASH), Josh Singer (yang menulis sogokan dahsyat dalam SPOTLIGHT) dan Justin Hutwitz (yang membuai kita melalui not muzik dalam LA LA LAND) berjaya membuatkan persembahan Ryan Gosling begitu meyakinkan ketika menyampaikan lakonan. Ryan Gosling perlu menjayakan karakter Neil sebagai manusia biasa; yang kalau tak kerana misi Gemini 8 dan Apollo 11, mungkin Neil Armstrong itu hanyalah insan kecil yang bila-bila masa sahaja dilupakan.

Ryan Gosling memahami peranannya dalam menyampaikan nilai hebat dalam sangkar diri Neil, bukan semata-mata meniru-lakon sahaja. Bagaimana sifat seorang lelaki penyendiri dan pendiam yang mementingkan hubungan erat kekeluargaan dan persahabatan itu rupa-rupanya merupakan aset penting sehingga Neil mendapat anugerah peluang menjadi First Man di bulan. Ia bukan datang dengan pertandingan fizikal dan rutin ketenteraan. Yang sebenarnya, ia adalah daya tarikan graviti bulan (impian) yang menjemput sang jujur kepada diri dan perjuangan untuk mendarat di lapangan kejayaan.

Persembahan Claire Foy sebagai isteri telah membantu sisi kebapaan dan kelelakian Neil diserlahkan dengan begitu cemerlang. Persembahan di layar tanpa bicara yang panjang ini mengesahkan kehebatan lakonan, skrip dan arahan yang memahami ruang sinema. Ia bukanlah lakonan yang menakjubkan sehingga kita membanding-bandingkan dengan lakonan hebat lain, tetapi, cukup untuk buat kita tergugah dan berasa dekat dengan watak.

First Man

Penonton bakal selesa dengan setiap penampilan karakter-karakter sokongan sepanjang perjalanan cerita. Setiap yang muncul diberi peranan yang bulat dan meninggalkan penonton dengan memori yang menggerakkan niat ingin terus menonton. Tidak seperti di dada akhbar yang memaksakan pembaca mempercayai kemenangan berpihak kepada Amerika yang menawan Bulan semata-mata, FIRST MAN (2018) buat kita menghayati erti impian dan kegigihan melalui misi menawan bulan.

 

Bulan itu adalah impian yang mendoakan kekuatan atas setiap kegagalan.

Selepas menonton First Man (2018), kita tak lagi berasa janggal untuk berbicara setinggi langit ingin berimpian. Dan, impian yang diimpikan itu pula tidak lagi bersalut gula-gula dan solekan kosmetik keindahan. Lebih meninggalkan kesan adalah apabila berbicara tentang lonjakan hasrat, misi dan pengembaraan hidup, di belakang kepala kita tersemat cantik keluarga dan insan yang disayangi seperti mana yang digambar dalam babak pertemuan akhir Neil dan isterinya. Secara visual, di belakang kepala Neil terlukis pantulan wajah syahdu sang isteri. Babak tersebut menguatkan nilai besar dalam diri Neil apabila misinya ke bulan itu benar-benar sarat dengan memori mendiang anak yang disayangi.

Nilai-nilai ini yang menjadikan perjuangan lebih bermakna. Kerana itu yang menjadi kita manusia. Kerana itu yang melayakkan kita menawan bulan impian.

Kini, ketika mencerap ke langit dan menziarahi wajah purnama, lorekan berbentuk ketam itu tidak lagi dilihat sebagai mitos purba. Rupa-rupanya, ia adalah lambaian kembali sang anak yang tewas kepada kanser (ketam) kepada bapanya yang memperjuangkan ketulusan jiwa sehingga diraikan dunia.

First Man

Ditulis : Thaaqhib Mohammed

Leave A Reply